Terdapat beberapa langkah pengawalan yang boleh diikuti untuk mencegah serangan gout. Di antaranya ialah :
(1) Mengawal makan dengan mengehadkan pengambilan protein daripada sumber haiwan — sesetengah pesakit beranggapan tidak mengapa makan ikut selera kerana ubat gout yang ada sekarang berkesan dan boleh menghilangkan kesakitan akibat keradangan dalam masa beberapa jam. Betul, tetapi kawalan penyakit gout lebih berkesan dengan menjaga pemakanan.
Ini bukan bermakna pesakit perlu berpantang, tetapi mengurangkan pengambilan jenis makanan yang kaya purin kerana ia boleh meningkatkan paras asid urik seperti organ dalaman (otak, hati, buah pinggang, limpa, jantung), daging angsa, ikan bilis, sardin, ikan kembung dan makanan laut bercengkerang. Mengurangkan atau mengelakkan terus daripada mengambil makanan tersebut bergantung kepada tahap kronik gout seseorang dan biasanya pesakit boleh kenalpastinya melalui pengalaman beberapa kali serangan.
(2) Kajian menunjukkan diet bebas purin hanya dapat mengurangkan 15 hingga 20 peratus paras asid urik. Jadi anda masih boleh makan makanan kegemaran, tetapi pada kuantiti kecil bergantung pada tahap asid urik anda.
(3) Sebaliknya gantikan dengan sumber protein daripada tumbuh-tumbuhan seperti kacang dan kekacang. Ia juga dapat membantu pesakit mengurangkan pengambilan lemak yang boleh mengakibatkan pertambahan berat badan. Lemak tepu juga dikenal pasti antara penyumbang tidak langsung kepada masalah gout.
(4) Kawal berat badan. Kegemukan boleh menjejaskan keupayaan badan untuk menyingkirkan asid urik. Jika anda mempunyai masalah berat badan berlebihan, mulakan bersenam dan kawal pengambilan makanan supaya berat badan dapat dikurangkan secara perlahan-lahan. Diet keterlaluan dan mendadak boleh menyebabkan serangan gout.
(5) Jika anda minum minuman beralkohol, hadkan kepada segelas wain atau satu tin bir saja sehari. Alkohol boleh meningkatkan paras asid urik dalam darah dan meninggikan risiko mendapat keradangan (serangan gout). Jika anda mengalami serangan, jangan minum minuman beralkohol.
(6) Minum banyak air iaitu sekurang-kurangnya dua liter sehari. Tidak mengapa jika anda terpaksa berulang ke tandas banyak kali kerana ia petanda baik. Semakin kerap anda ke tandas, semakin banyak asid urik dibuang.
(7) Pilih produk tenusu rendah lemak atau bebas lemak. Ada kajian menunjukkan pengambilan produk tenusu rendah lemak dapat membantu mengurangkan risiko gout.
(8) Ambil karbohidrat kompleks — sasarkan untuk makan lebih banyak bijirin, sayur dan buah. Kurangkan makanan mengandungi karbohidrat yang diproses seperti roti putih dan kek.
Disamping itu, kurangkan membuat aktiviti tertentu dalam posisi yang sama dalam masa yang lama. Contohnya, duduk terlalu lama, berdiri terlalu lama atau berjalan jauh. Amalkan senaman ringan yang tidak memudaratkan.
Susu rendah lemak elak serangan gout |
Minum banyak air berkesan merawat gout |
Rawatan serangan gout.
(1) Mengambil pil anti keradangan sejurus serangan gout.
Ubat ini dapat meredakan gout dengan cepat, terutamanya jika diambil secepat mungkin. Biasanya jika anda disahkan menghidap gout, doktor akan membekalkan ubat anti keradangan untuk anda simpan sebagai stok sekiranya anda diserang gout.
(2) Tekapkan tempat yang bengkak dengan ais.
Namun kaedah ini berkesan untuk sementara waktu. Jadi sesuai dilakukan sebelum anda sempat mengambil ubat anti keradangan.
* Produk ini bukan bertujuan untuk mendiagnos, merawat, menyembuhkan atau mencegah sebarang penyakit.
No comments:
Post a Comment